Jumaat, 19 Mac 2010

JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN

JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN telah ditubuhkan pada awal tahun 1970 sebagaimana diperuntukan pada Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Jawatankuasa ini merupakan badan pengeluar fatwa di peringkat Kebangsaan atas apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Tugas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengikut pada Perkara 14 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia adalah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja.

Pada Muzakarah kali ke-74, 27 Jul 2006 Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah membincangkan berkenaan hukum meminta orang bukan islam untuk sama-sama berdoa mengikut anutan masing-masing. Oleh itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam tidak harus meminta atau mengarahkan orang bukan Islam berdoa mengikut agama mereka masing-masing. Walaubagaimanapun, jika mereka berdoa atau memohon sesuatu mengikut ajaran mereka dengan kehendak mereka sendiri tanpa diarahkan, perbuatan tersebut tidak dilarang.

Dan pada 1 Feb 2008 jawatankuasa itu juga telah bermuzakarah untuk kali yang ke-80. Ada dibincangkan mengenai hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB)serta dividen atau bonus yang diterima, dimana keputusannya adalahharus.

Pada muzakarah ke-86, 23 Apr 2009, telah dibincangkan berkenaan pembinaan monumen bagi angkatan tentera. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.

Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.

Walau bagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak

Acara-acara seperti Majlis Peringatan termasuk Bacaan Doa Selamat, Yasin, Tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.

Muzakarah juga bersetuju supaya JAKIM menyediakan satu garis panduan binaan tanda peringatan untuk rujukan semua agensi Kerajaan dan swasta serta masyarakat awam.